Gerakan Kemaskini Daftar Keahlian
Assalamualaikum wrh. wbt. Sukacita diumumkan, bagi menyahut seruan pihak pengurusan GPTD pusat yang kini sedang mengemaskini daftar keahlian di peringkat pusat, GPTD Kelantan juga ingin menyusun dan mengemaskini keahlian peringkat negeri bagi membantu pihak pengurusan pusat dalam mengemaskini data keahlian. Sehubungan dengan itu, pihak kami memohon semua ahli GPTD Kelantan atau yang ingin menjadi ahli GPTD untuk mengemaskini butiran berikut dengan mengisi borang keahlian online di bawah :
Nama Penuh :
No. Kad Pengenalan :
Email Address:
Alamat Blog (Jika ada) : nota: Tulis "TIADA" jika anda tidak memiliki blog

Gambar : Sila emelkan gambar berukuran pasport anda ke emel : gptdkelantan@gmail.com. 

Nombor Telefon:
Alamat perhubungan (untuk urusan surat-menyurat):
Institusi Pendidikan (beserta tahun dan bidang pengajian):
Pekerjaan (dan majikan) sekarang :

create web form
Adalah diharapkan agar Sdr. / Sdri. dapat mengemaskini maklumat di atas dengan secepat mungkin. Segala kerjasama amatlah dihargai. Sekian, terima kasih. SEKRETARIAT GPTD Kelantan.

Wednesday, April 1, 2009

Siri 1 : Musafir Korea



(Nukilan ini hasil tulisan Musafir Korea yang merupakan wakil GPTD di Korea. Nukilan ini berkisar tentang sejarah penerimaan hidayah bagi seorang Korean Muslim, Pakcik Osman yang sempat kami temuramah sempena kedatangan wakil GPTD ke Korea iaitu saudara Hakim, Kak Adawiyah dan lain-lain)

Setelah memeluk Islam, nama diberi Osman. Panggilan manjanya ialah Pakcik Osman. Seindah nama, sedamai ungkapan, itulah yang dapat dirakam bagi menggambarkan keramahannya. Menceritakan detik-detik kehadiran permata hidayah di dalam hidupnya, seakan-akan merungkai kembali saat pahit dan manis perjalanan hidupnya dalam mencari erti cinta yang hakiki, cinta yang tulus suci berlandaskan ketakwaan dan pengabdian sepenuh kehidupan kepada Allah  s.w.t.

Biarpun semakin dimamah usia, semangatnya masih 'muda' untuk mengenali Islam. Selepas memeluk Islam, tiada lagi keraguan di dalam dirinya. Yang pasti dia yakin dengan sepenuh hati bahawa tiada tuhan disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu utusan Allah. Kini, dia tersenyum dengan sepenuh kepatuhan dalam memperhambakan diri, sama seperti umat Islam yang lain.

Jika bumi Turki yang menjadi tempat tergugatnya iman Karam terhadap ajaran Kristian, kini bumi Arab Saudi pula menjadi saksi terhadap pengislaman pakcik Osman. Niat merantau untuk mencari sesuap rezeki rupa-rupanya hanyalah sebuah episod untuk menyempurnakan jalan penerimaan hidayah di dalam hidupnya. Dia yakin, tiada apa yang lebih membahagiakan hidupnya melainkan kejayaan menggapai kebenaran dalam beragama.




"Arab Saudi panas macam dalam Neraka, tetapi tatacara hidup masyarakat di sana ibarat sebuah kehidupan di alam Syurga. Berbeza dengan kehidupan di Korea, dalam keadaan cuaca yang sentiasa dingin dan menyamankan seperti berada di dalam Syurga, tetapi perjalanan hidup masyarakatnya ibarat terkapai-kapai di dalam lembah Neraka Jahanam yang dalam"
melunsur laju untaian kata daripada mulut Pakcik Osman sebagai merungkaikan kembali peristiwa yang telah membuka jalan ke arah pengislamannya.

Ya Allah, sungguh tajam ungkapan itu. Kakiku kaku, fikiran mula menerawang jauh meninggalkan Pakcik Osman yang seolah-olah memahami situasiku pada waktu itu. Takut bercampur kagum dengan kiasannya. Aku takut akan balasan Neraka. Aku banyak dosa, aku tidak layak untuk menjejaki singgahsana Syurga. Apapun, aku bersyukur padaMu kerana terus memberi kesempatan untukku bertaubat. Sungguh hebat hidayahMu, sungguh hebat lagi kegagahan yang kau berikan kepada Pakcik Osman untuk meluluhkan hatiku yang sejak lahir lagi hanya mengEsakanMu dalam hidupku. Syukur padaMu Ya Allah.

Sejak itu, timbunan persoalan bermain-main di dalam fikirannya. Berbekalkan azam dan tekad yang menggunung tinggi, pakcik Osman mula berfikir akan hakikat satu kuasa yang telah berjaya mempengaruhi kehidupan insan-insan di sana. Dia bertambah bingung mengenangkan ketaatan wanita-wanita di sana yang mengenakan tudung di kepalanya walaupun dalam cuaca panas terik. Baginya, di sana pasti ada satu kuasa yang Maha Hebat.

Berkat azam yang terpasak kukuh di hatinya, akhirnya pakcik Osman menemui lorong-lorong kebahagian itu. Itulah dia " ISLAM ". Satu kuasa yang telah menyelinap masuk ke setiap urat saraf pemiliknya. Kuasa yang telah menjadi punca terjunjungnya agama di kepala dan dunia meluntut hina di kaki-kaki penganutnya. Alhamdulillah, sejak itu dia nekad untuk meneruskan hidup bersama Islam. Hanya Islamlah agama yang benar baginya.

Sekembalinya ke Korea, berkat semangat suka bertanya, akhirnya ilmu agamanya semakin bertambah-tambah. Dengan alunan Quran dan Hadis yang mengiringi penjelasannya, bagiku insan ini cukup bertuah. Jauh di sudut hati, aku malu mengenangkan generasi umat Islam pada masa kini. Istilah cinta hanya di bibir, nur Islam sudah jauh meninggalkan kita. Yang tinggal hanyalah hakikatnya. Setiap ajaran agama dikajinya semata-mata untuk menambahkan lagi iman di dadanya. Kenapa berpuasa ? Kenapa banyak gerakan tangan ketika solat ?  Dan yang paling aku kagumi adalah tentang kajiannya mengenai ayat-ayat Al-Quran. Contohnya seperti ayat 41, 42 Surah Saad ;



Maksudnya : Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba Kami: Nabi Ayub ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: " Sesungguhnya aku diganggu oleh Syaitan dengan (hasutannya semasa aku ditimpa) kesusahan
dan azab seksa (penyakit)".



Maksudnya : (Maka Kami kabulkan permohonannya serta Kami perintahkan kepadanya): " Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu " (setelah ia melakukannya maka terpancarlah air, lalu Kami berfirman kepadanya): " Ini ialah air sejuk untuk mandi dan untuk minum (bagi menyembuhkan penyakitmu zahir dan batin) ".

Berpandukan ayat di atas, pakcik Osman telah melakukan satu kajiian bagi membuktikan kebenaran ayat di atas. Alhamdulillah, ternyata benar dan baginya, ubat yang paling bagus ialah air. Katanya, sebab itulah kebanyakan ubat-ubatan sekarang dicipta dalam bentuk cecair. Ya Allah, ilmu ini sudah terakam indah di dalam Al-Quran berkurun lamanya. Cuma kita sahaja yang tidak sudi mendampinginya.

Di tengah-tengah pengembaraan hidupnya dalam mempelajari Islam itulah, Allah telah menganugerahkan 'sayap kiri perjuangan' baginya. Takdir yang menentukan bertemunya dua insan yang dilahirkan dalam keadaan bukan Islam tetapi diberi hidayat oleh Allah untuk memeluk Islam. Demi mencapai cita-citanya untuk mengahwini perempuan tersebut, Pakcik Osman telah berdakwah dan menerangkan sedaya yang mampu tentang Islam kepadanya. Alhamdulillah, akhirnya mereka kembali kepada fitrah kejadian insan.

Tidaklah mampu saya rungkaikan setiap bait-bait indah di sini. Cukuplah sekadar mengkoreksikan kenangan indah saya di sini untuk tatapan sahabat-sahabat. Semoga ia memberi manfaat untuk semua. Fikirkanlah, adakah kita pernah merasai hakikat kemanisan iman itu sebagaimana mereka merasainya? Sudah 20 saya bergelumang dengan kehidupan Islam, tetapi cuma sedikit sahaja "keizzahan" Islam itu tercalit di hati. Yang kelam itu hanyalah debu-debu kotor yang menanti "iman" untuk mencucinya. Ya Allah, ampunilah hambaMu ini.

Bersedialah untuk menghadapi maut. Datangnya tanpa diundang, tiba masa semua akan pergi. Jika anda sudah bersedia, Tahniah !!! Anda memang hebat. Saya belum bersedia, masih banyak yang perlu dibaiki dan dilaksanakan. Doakan kebahagiaan hidup saya di dunia dan juga di akhirat. Juga ke atas seluruh ummat Islam di muka bumi Allah ini. Sama-samalah kita mempertingkatkan amal kita sebagai bekalan di hari yang belum pasti kesudahannya. Moga-moga Allah golongkan kita di dalam kalangan orang-orang yang bertakwa. Ameen

No comments: